KRT, Combi perlu bersatu tangani denggi
- Sumber : Sinar Harian
- Jan 28, 2015
- 1 min read

SEREMBAN – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) perlu memainkan peranan dalam memastikan kawasan taman bebas daripada wabak denggi. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abu Ubaidah Redza berkata, peningkatan kes denggi di negeri ini perlu diatasi dengan kerjasama badan penggerak KRT dan penduduk. “Masalah wabak denggi yang mencatatkan peningkatan kes sejak kebelakangan ini perlu ditangani segera bagi mengelak penularan wabak terus meningkat. “KRT dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bersama-sama Combi dalam menggiatkan aktiviti gotong-royong kawasan sekitar taman serta kampung bagi mengelak pembiakan Aedes,” katanya ketika berucap pada Program Gotong Royong Bebas Denggi anjuran KRT dan Combi Taman Dusun Setia, di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi KRT Taman Dusun Setia, Fajar Aris. Menurutnya, KRT dan Combi perlu memastikan kawasan taman mencapai sasaran iaitu penurunan kes ataupun sifar wabak denggi. “Kita mahu kes denggi di setiap kawasan taman mencatatkan penurunan setiap bulan. Dengan cara gotong royong dan kesedaran penduduk mengenai kebersihan mampu mengelak pembiakan Aedes. Sementara itu, Ketua Cawangan Umno Taman Dusun Setia, Roslin Abu berkata, penganjuran aktiviti gotong-royong itu akan diadakan secara kerap selepas ini. “Program ini julung kali diadakan dan ternyata mendapat sambutan penduduk. Meskipun kawasan taman bebas daripada wabak denggi, kami tetap akan mempergiatkan lagi aktiviti ini. “Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kami mahu penduduk sihat dan bebas daripada wabak denggi,” katanya.


















Comments